Sabtu, 4 Ogos 2018 | 8:35am
KEADAAN rumah didiami keluarga Addy Selamat, 33, yang runtuh dan tenggelam selepas di landa ombak di Kampung Mempakad Laut, Pitas. - Foto Ihsan Pembaca.

Rumah runtuh dihempas ombak

PITAS: Sebuah keluarga di Kampung Mempakad Laut, di sini, berdepan detik cemas apabila rumah atas air yang didiami mereka runtuh akibat dipukul ombak kuat tengah hari semalam.

Ketika kejadian pada kira-kira jam 1 tengah hari itu, ada tiga orang berada di rumah berkenaan iaitu seorang wanita bersama dua anaknya berumur empat dan lima tahun.

Suami wanita berkenaan, Addy Selamat, 33, berkata ketika itu dia berada di atas jambatan di hadapan rumahnya dalam perjalanan pulang dari masjid selepas selesai solat Jumaat.

Katanya, dia melihat sendiri rumahnya runtuh dan jatuh ke dalam air sebaik segulung ombak setinggi kira-kira tiga meter menghempas premis berkenaan.

"Ketika berjalan di jambatan menuju ke rumah, angin sangat kencang dan tiba-tiba ombak lebih kurang setinggi tiga meter menghentam rumah saya yang terletak di tepi laut.

"Saya juga rebah di atas jambatan akibat terkena ombak besar itu namun saya cepat-cepat bangun dan berlari sebelum terjun ke laut menyelamatkan isteri dan sepasang anak kami,.

"Ketika kejadian isteri dan anak saya sedang berehat sambil menonton televisyen. Nasib baik saya terus balik selepas solat Jumaat dan cepat bertindak menyelamatkan mereka," katanya kepada NSTP.

Addy yang bekerja sebagai pembantu jurutera sambilan Jabatan Air Daerah Pitas, berkata dia menyelamatkan dua anaknya dahulu sebelum terjun semula menyelamatkan isterinya dan membawa mereka ke darat.

Katanya, semua barangan dalam rumah rosak, namun isterinya sempat menyelamatkan dokumen

penting seperti sijil lahir dan kad pengenalan sebelum rumah mereka runtuh.

Akibat kejadian itu, Addy bersama keluarganya terpaksa menumpang di rumah penduduk lain.

"Setakat ini kami belum menerima sebarang bantuan namun saya bersyukur semua ahli keluarga saya selamat," katanya.

Sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi Addy di talian 016-2368420.

Berita Harian X