Sabtu, 4 Ogos 2018 | 10:02am

Lori bertembung van, 1 maut

KULIM: Seorang pemandu lori maut akibat tersepit selepas kenderaannya bertembung dengan van di Jalan Jalan Malau, Labu Besar, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada jam 5.18 petang itu, mangsa, Lee Kim Owing, 58, berasal Taman Kelisa Ria, Sungai Petani, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar, berkata siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan sedang menghala ke Labu Besar sebelum bertembung sebuah van.

Katanya, van dipandu seorang lelaki tempatan dan membawa tiga pekerja dipercayai terbabas ke laluan bertentangan.

"Pemandu berusia 42 tahun itu pada mulanya terbabas ke bahu jalan, sebelum bertindak memusingkan kenderaan untuk masuk semula ke laluan.

"Pemandu lori yang gagal mengelak van kemudian merempuh kenderaan itu mengakibatkan lori terbalik dan mangsa tersepit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, turut mengalami kecederaan parah adalah pemandu van dan dua penumpang hadapan berusia 63 dan 39 tahun, manakala seorang lagi penumpang cedera ringan.

"Pihak polis terpaksa menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Kulim untuk rawatan lanjut dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X