Isnin, 6 Ogos 2018 | 7:19pm
Seorang ibu yang tergamak meninggalkan bayi lelakinya berusia lingkungan tujuh hari berseorangan diri di sebuah bilik sewa di Taman Tampoi Indah di sini hingga darah dagingnya itu kebuluran dikesan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - Foto ihsan JKM

Bayi kebulur ditinggal ibu di bilik sewa

JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan seorang ibu yang tergamak meninggalkan bayi lelakinya berusia lingkungan tujuh hari seorang diri di sebuah bilik sewa di Taman Tampoi Indah di sini hingga darah dagingnya itu kebuluran.

Pelindung Kanak-Kanak JKM Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim, dalam satu kenyataan media berkata, bayi berkenaan dipercayai kebulur beberapa hari sebelum diselamatkan seorang pekerja lelaki bahagian pembersihan yang juga kenalan ibu bayi berkenaan.

Beliau berkata, mengikut maklumat yang diterima, pada 5 Julai lalu ibu bayi berkenaan berusia 20-an bertemu dengan lelaki itu dan bertanyakan berkaitan bilik sewa bagi keluarganya.

Menurutnya, wanita berkenaan kemudian bersetuju untuk menyewa sebuah bilik di Taman Tampoi Indah pada hari sama dengan sewa bulanan RM250 dan menyatakan akan membuat pembayaran apabila suaminya pulang dari Kuala Lumpur.

Namun, pada kira-kira jam 7.30 petang 8 Julai lalu ketika pekerja bahagian pembersihan itu meninjau bilik sewa berkenaan, bayi terbabit ditemui kebuluran dan berseorangan.

“Lelaki berkenaan yang mendapati bayi itu berada dalam keadaan tidak sihat kemudian menyelamatkan bayi berkenaan dan menjaganya dengan harapan ibu kandungnya akan pulang.

“Dalam tempoh penjagaan, wanita itu gagal menuntut bayinya selain berikutan keadaan kesihatan bayi berkenaan semakin merosot, lelaki berkenaan mengambil keputusan membawanya ke HSI pada 12 Julai,” katanya.

Zaid berkata, bayi berkenaan mendapat rawatan di HSI selama beberapa hari sebelum dirujuk menerusi Jabatan Kerja Sosial HSI kepada JKM pada 16 Julai 2018.

“Hasil siasatan, bayi berkenaan ditinggal oleh ibu kandungnya di sebuah bilik sewa beralamat 02-17A, Jalan Mawar 3, Taman Tampoi Indah di sini.

“Berdasarkan maklumat dari HSI, tiada sebarang maklumat berkaitan ibu bayi berkenaan diperoleh dan dipercayai bayi itu tidak dilahirkan di hospital awam sekitar Johor Bahru.

“Pegawai perubatan bertugas membuat laporan polis bagi merujuk kanak-kanak itu ke Jabatan Kerja Sosial HSI sebelum bayi berkenaan dirujuk kepada pelindung kanak-kanak JKM bagi penempatan sementara,” katanya.

Zaid Ikhwan berkata, bayi berkenaan dinamakan sebagai Eimir dianggarkan berusia 36 hari dan kini ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak.

Beliau berkata, bayi berkenaan masih mendapatkan rawatan susulan di HSI berikutan mengalami masalah gastrik.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 dan berikutan tiada sebarang tuntutan, bayi berkenaan ditempatkan di institusi perlindungan JKM mengikut Seksyen 18 Akta Kanak Kanak 2001.

“Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan bayi berkenaan boleh menghubungi JKM di talian 07-2232606,” katanya.

Berita Harian X