Isnin, 6 Ogos 2018 | 11:58pm

Terjun sungai elak ditahan polis

YAN: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah dikhuatiri lemas selepas terjun di kuala Sungai Sala di sini, bagi mengelak ditahan polis, petang tadi.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, lelaki terbabit terjun ke dalam sungai apabila anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menyerbu kawasan itu yang menjadi sarang penagihan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Mazlan Yaakob, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.15 petang yang memaklumkan seorang lelaki terjatuh di kuala Sungai Sala.

Lelaki berusia 35 tahun itu dipercayai berasal dari Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala.

Empat anggota bomba memulakan operasi pencarian di kawasan kuala Sungai Sala menggunakan bot, namun sehingga jam 6 petang tadi mangsa belum ditemui.

“Kami sudah menghubungi Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba Sungai Petani bagi mendapatkan bantuan penyelam,” katanya.

Operasi mencari ditangguhkan malam ini dan dijadual bersambung kembali pagi esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji ketika dihubungi, mengesahkan anggotanya melakukan operasi berkaitan membanteras penagihan dadah di kawasan itu.

Bagaimanapun, kes lemas itu diserahkan kepada IPD Kota Setar yang terbabit dalam operasi mencari lelaki terbabit.

Berita Harian X