Rabu, 8 Ogos 2018 | 10:54am

Najib mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta ke dalam akaun miliknya.

Najib, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, Najib didakwa menerima wang berjumlah RM27 juta hasil daripada aktiviti haram melalui Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di Bank AmIslamic.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Bank Am Islamic Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55 Jalan Raja Chulan, dekat sini pada 26 Disember 2014.

Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Najib didakwa menerima wang berjumlah masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM10 juta di tempat dan cara yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda lima kali dari nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, atau mana-mana jumlah yang lebih tinggi.

Terdahulu, mereka yang hadir ketawa apabila Najib menegur dua kali kesalahan jurubahasa mahkamah yang tersilap membacakan pertuduhan terhadapnya.

Beliau menegur apabila wanita itu menyebut RM27 juta ribu dan RM5 juta ribu sedangkan ia sepatutnya RM27 juta sahaja.

Pada mulanya, kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk direkodkan pengakuan.

Apabila dibawa ke hadapan Hakim Azman, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon supaya kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi 3, bagi membolehkan ia dibicarakan bersama dengan kes terdahulu.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup yang memohon supaya kes itu dibicarakan bersama dengan empat lagi pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini.

Mahkamah juga membenarkan wang jaminan RM1 juta yang ditetapkan sebelum ini diguna pakai dalam kes hari ini.

Di dalam prosiding yang sama, pertuduhan pindaan terhadap empat pertuduhan sebelum ini dibacakan semula terhadap Najib.

Najib masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi, di sini atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta

Selain Hanafiah dan Manoj, pendakwaan turut diwakili Datuk Shuhaimi Ibrahim, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Datuk Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Muhamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan

Sementara itu, pembelaan diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit Singh, Datuk Raj Krishnan, Farhan Read, Rahmat Hazlan dan Muhamad Farhan Muhamad Shafee.

Peguam Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika hadir untuk didakwa atas tiga pertuduhan menerima wang dari aktiviti haram di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X