Rabu, 8 Ogos 2018 | 9:46pm
ANGGOTA polis memeriksa kereta Chevrolet yang rentung selepas terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 209.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman
ANGGOTA polis memeriksa kereta Chevrolet yang rentung selepas terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 209.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman
ANGGOTA Bomba & Penyelamat memeriksa lori yang terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 209.3 PLUS arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman
ANGGOTA Bomba & Penyelamat memeriksa lori yang terlibat kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 209.3 PLUS arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh. - Foto Khairunisah Lokman

Seorang rentung, lima cedera kemalangan lima kenderaan

MELAKA: Seorang wanita rentung, manakala lima cedera, termasuk satu parah dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 209.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, sebuah kereta Chevrolet dan lori Hino tanpa muatan hangus terbakar, manakala tiga lagi kenderaan masing-masing Toyota Harrier, Honda CRZ dan Proton Saga BLM hanya mengalami kerosakan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah, berkata mangsa yang rentung, Chen Mei Mei, 35, duduk di bahagian kanan belakang kereta Chevrolet berkenaan.

Beliau berkata, ketika kejadian terdapat tiga individu, termasuk pemandu di dalam Chevrolet terbabit, namun pemandu dan penumpang hadapan, Chua Yong Teck, 41, Chua Sing Hong, 86, bersama anak mangsa, Chua Thi Tong berusia empat tahun berjaya keluar menyelamatkan diri.

“Mangsa yang tersepit terbunuh selepas kereta itu terbakar. Bagaimanapun, pemandu lori, Budiman Shabri Ahmad, 56, tidak mengalami kecederaan.

“Pemandu Proton Saga yang juga penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Ismail Abd Azi, 35, parah, manakala penumpang yang juga pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nurhanim Saadah Abdullah, 34, cedera ringan,” katanya.

Mohd Sham berkata, siasatan awal mendapati, semua kenderaan berkenaan bergerak dari Johor ke Kuala Lumpur dan kemalangan dipercayai berlaku apabila lori Hino yang berada di lorong paling kiri secara tiba-tiba menukar laluan lalu merempuh Proton Saga.

“Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan, sebelum lori berkenaan merempuh belakang kereta Chevrolet yang dinaiki mangsa.

“Sejurus selepas perlanggaran itu, berlaku perlanggaran membabitkan Toyota Harrier dan Honda CRZ pula,”katanya.

Mohd Sham berkata, semua mangsa di bawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan dan mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hamdan Sudin berkata, sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 11.29 pagi.

“Sepasukan 17 anggota bersama pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian dan sejurus tiba, kita dapati api sedang marak membakar kereta Chevrolet dan kepala lori Hino seberat satu tan itu.

“Malah, kemalangan turut membabitkan tiga lagi kereta. Anggota kita terpaksa menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang rentung,”katanya.

Berita Harian X