Khamis, 9 Ogos 2018 | 6:41pm

Wanita maut diseret kereta sendiri

KUALA LUMPUR: Seorang wanita maut akibat diseret kereta sendiri selepas tercampak keluar dari kenderaan itu dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian dari arah Semenyih ke Cheras, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa, Norinda Che Ibrahim, 30-an, yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisoner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kemalangan itu pada jam 12.30 tengah hari tadi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan memandu Perodua Myvi keluar dari susur kiri sebuah stesen minyak sebelum mengubah laluan ke lorong kanan dan dilanggar sebuah lori yang berada di laluan kanan dari arah belakang.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai tertekan pedal minyak lalu hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan. Perodua Myvi berkenaan kemudian dikatakan berpusing beberapa kali sebelum mangsa tercampak keluar melalui tingkap bahagian pemandu.

“Ketika itu, kereta mangsa masih bergerak mengakibatkan mangsa yang tercampak diseret oleh kenderaan itu sejauh kira-kira 10 meter sebelum berhenti,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Jenazah mangsa sudah dituntut oleh waris dan dikebumikan di Kajang, hari ini.

“Anggota polis trafik mengambil masa lebih sejam untuk mengawal keadaan lalu lintas di lokasi kejadian dengan dibantu anggota bomba.

“Semua kenderaan terbabit dalam kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X