Isnin, 13 Ogos 2018 | 1:52pm
M Muthu Samy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Alor Setar, hari ini, atas tujuh pertuduhan pecah amanah sebanyak RM28,893.60 membabitkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) lapan tahun lalu. - Foto Muhammad Hafis Nawawi

Guru besar hadapi 7 tuduhan pecah amanah

ALOR SETAR: Seorang guru besar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tujuh pertuduhan pecah amanah sebanyak RM28,893.60 membabitkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) lapan tahun lalu.

Tertuduh, M Muthu Samy, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau yang ketika itu bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Mertajam, Kulim, didakwa melakukan pecah amanah membabitkan dua cek berjumlah RM3,661.20 dan RM7,322.40.

Cek itu sepatutnya dibayar kepada pembekal RMT, S Savuntharam bagi bulan Januari hingga Mac 2010 di sebuah bank di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani pada 5 April 2010, namun tiada bayaran dibuat kepadanya.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Muthu Samy didakwa melakukan kesalahan sama membabitkan cek berjumlah RM8,339.40 yang sepatutnya dibayar kepada Savuntharam bagi bulan April dan Mei 2010 di sebuah bank di Kuala Ketil, Baling pada 10 Jun 2010.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, beliau didakwa melakukan kesalahan pecah amanah membabitkan tiga cek berjumlah RM1,017, RM145.80 dan RM4,474.80 yang sepatutnya dibayar kepada pembekal sama bagi bulan Oktober dan November 2010.

Pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa melakukan kesalahan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM3,933 yang sepatutnya dibayar kepada Savuntharam bagi bulan Mei 2011.

Dia didakwa melakukan kesalahan pecah amanah jenayah berkaitan harta yang boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam SP Raman.

A Hafiizh meminta mahkamah menetapkan wang jaminan RM15,000 namun Raman merayu supaya jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh perlu menanggung ibu yang sudah tua, isteri dan anak masih bersekolah.

Azman kemudian menetapkan wang jaminan RM10,000 dan 19 September ini tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X