Selasa, 14 Ogos 2018 | 3:51pm

Anggota RELA tolak bayaran pampasan

AMPANG: Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang diserang dan dicederakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri akhir tahun lalu, menolak tawaran bayaran pampasan, sekali gus menyaksikan kes itu diteruskan dengan prosiding perbicaraan.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan berkenaan selepas dimaklumkan berhubung perkara itu oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Datuk Seri Liow Soon Hee, 30.

Rajpal memberitahu mahkamah bahawa pihak RELA tidak berminat dengan bayaran pampasan atau tawaran lain yang dikemukakan mereka.

Oleh itu pihaknya meminta kes itu diteruskan dengan perbicaraan.

Mahkamah menetapkan tiga hari bermula 5 September ini untuk perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim. Turut hadir peguam pemerhati yang mewakili RELA iaitu Datuk Micheal Wong.

Sementara itu, Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin yang ditemui di luar mahkamah berkata pihaknya menolak pampasan yang ditawarkan kerana ia membabitkan maruah anggotanya.

“Kita menolak tawaran pampasan itu kerana mahu ia menjadi pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat.

“Ia supaya masyarakat lebih menghormati anggota penguat kuasa yang bertugas. Ia bukan sahaja untuk RELA tetapi juga penguat kuasa yang lain,” katanya.

Sebelum ini tertuduh pernah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes itu tetapi ditolak.

Pada 3 November tahun lalu, Soon Hee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lee Weng Poh, 27, di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang di sini, pada 6.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Dakwaan kes dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh dengan niat menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 21, yang menjalankan tugasnya sebagai anggota RELA di tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Soon Hee didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Leong Jun Jie, 21, dan Mun Khai di tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun.

DATUK Seri Liow Soon Hee hadir di Mahkamah Sesyen Ampang bagi mendengar keputusan mahkamah berkaitan menyerang dan mencederakan anggota RELA di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, 27 Oktober lalu. - Foto Hafiz Sohaimi
Berita Harian X