Rabu, 15 Ogos 2018 | 2:03pm
KHIRUDIN Drahman (dua dari kiri) beramah mesra bersama wakil pusat tahfiz selepas menyampaikan alat pemadam api (APA) kepada pusat-pusat tahfiz seluruh Kuala Lumpur di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Kuala Lumpur. - Foto Rosdan Wahid

29 pusat tahfiz gagal patuhi aspek keselamatan

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengeluarkan 266 notis kepada 29 daripada 36 pusat tahfiz yang diperiksa, di sekitar ibu negara.

Pemeriksaan itu dibuat selepas kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, di sini, pada 14 September tahun lalu yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Khirudin Drahman, berkata 29 pusat terbabit tidak menepati aspek keselamatan termasuk sistem pendawaian yang tidak sesuai dan tiada laluan kecemasan.

Katanya, tenaga pengajar pusat tahfiz berkenaan diberi tempoh masa sesuai untuk memastikan semua aspek itu dipatuhi bagi mengoptimumkan tahap keselamatan pada peringkat paling tinggi.

“Satu daripada 36 pusat tahfiz itu tidak dapat menepati tahap keselamatan terbabit dan bertindak menutup premis mereka.

“Mungkin ada masalah kewangan atau pusat berkenaan tidak mendapat sambutan dalam kalangan pelajar tahfiz.

“Baki tujuh pusat tahfiz itu pula didapati tiada masalah berhubung isu berbangkit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api (APA) Kepada Pusat Tahfiz Kuala Lumpur di ibu pejabat JBPM Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Azizan Muhammad.

Pada majlis itu, Khirudin menyerahkan 54 unit alat pemadam api sumbangan JAKIM kepada 18 pusat tahfiz di sekitar ibu negara.

Setiap pusat tahfiz menerima tiga unit alat pemadam api yang dianggarkan bernilai RM120 seunit.

Sementara itu, Khirudin berkata pihaknya mengeluarkan 2,155 notis kepada 73 pangsapuri di ibu negara sejak awal tahun ini hingga Julai lalu.

“Kita pergi ke pangsapuri berkenaan selepas terima aduan, kadang-kala pihak pengurusan pangsapuri itu sendiri ambil ringan, ada yang mahu jimat kos hingga tidak optimumkan tahap keselamatan di kawasan itu.

“Ia termasuk tidak selenggara perkhidmatan lif secara berkala,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya mewujudkan 23 pasukan bomba komuniti yang beroperasi di ibu negara.

“Kita ada sembilan pasukan memfokuskan kepada sekolah pondok.

“Baki 12 dan dua pasukan lagi masing-masing akan memantau tahap keselamatan bangunan pusat tahfiz dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Berita Harian X