Jumaat, 17 Ogos 2018 | 10:24am
SEBUAH kereta Porsche terbakar 80 peratus selepas dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik. - Foto ihsa Bomba

Porsche terbakar, pemandu lesap

GOPENG: Sebuah kereta Porsche terbakar 80 peratus selepas dipercayai terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Kota Bharu di sini malam tadi.

Bagaimanapun, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng tidak menemui sebarang mangsa cedera atau mayat di lokasi kejadian selepas pemadaman api selesai dilakukan.

Ketua Operasi BBP Gopeng, Norzamri Abd Wahab, berkata pihaknya tiba di lokasi kejadian jam 11.16 malam dan terus melakukan pemadaman kerana menyangka ada mangsa di dalam kereta mewah berkenaan.

Katanya, bagaimanapun selepas api dipadam pihaknya mendapati tiada mangsa dalam kenderaan itu.

"Pihak kami selesai melakukan operasi pemadaman jam 3.45 pagi tadi dan kita menyerahkan kes kebakaran kenderaan jenis Porsche itu kepada pihak polis," katanya ketika dihubungi NSTP di sini pagi ini.

NSTP difahamkan ada saksi yang tiba di lokasi kejadian lebih awal melihat seorang lelaki menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda yang kemudian memecut laju meninggalkan lokasi berkenaan.

Berita Harian X