Jumaat, 17 Ogos 2018 | 2:57pm
SITI Nurraihan Ahmad, 25, yang dijatuhi hukuman penjara 13 tahun atas pertuduhan menyebabkan kematian anak lelakinya dengan niat, tahun lalu.

Dipenjara 13 tahun sebabkan kematian anak

SHAH ALAM: “Hukuman ini dianggap wajar dan mahkamah di pagi Jumaat yang mulia ini mendoakan kamu berubah menjadi baik serta memperoleh pengajaran bermakna dalam tempoh itu,”.

Itu kata-kata Hakim Mohd Yazid Mustafa ketika menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun ke atas seorang wanita, Siti Nurraihan Ahmad, 25, atas pertuduhan menyebabkan kematian anak lelakinya dengan niat, tahun lalu.

Suasana di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini pilu apabila Siti Nurraihan menitiskan air mata selepas mendengar ‘doa’ hakim dan keputusan itu.

Mohd Yazid memutuskan hukuman berkenaan selepas ibu kepada empat anak itu mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan selain mengambil kira keseluruhan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian anaknya, Muhammad Aqeel Arfan Abdullah berusia empat tahun dengan niat di sebuah apartment di Taman Sutera, Hulu Langat, kira-kira jam 12 tengah malam, 9 Januari tahun lalu.

Bekas penuntut kolej swasta itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Siti Nurraihan memijak perut mangsa kerana berang anak ketiganya itu membuat bising dalam dua kejadian berasingan termasuk pada petang 4 Januari tahun sama.

Kejadian itu mengakibatkan kanak-kanak malang berkenaan muntah, kembung perut dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar tertuduh ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil bedah siasat mendapati kematian Muhammad Aqeel Arfan akibat jangkitan kuman selepas kebocoran ususnya dan tertuduh kemudian ditahan polis bagi membantu siasatan.

Mohd Yazid dalam penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira faktor mitigasi pembelaan bahawa tertuduh yang masih muda mengalami tekanan mental kerana terpaksa menjaga anak selain menghadapi masalah kewangan.

“Walaupun pihak pendakwaan memohon hukuman lebih berat kerana mangsa membabitkan kanak-kanak, mahkamah menganggap perbuatan tertuduh itu akibat kesempitan hidup dihadapinya.

“Pengakuan bersalahnya juga menjimatkan kos dan masa mahkamah. Saya mendoakan tertuduh dapat berubah daripada seorang yang nakal kepada baik,” katanya memerintahkan hukuman ke atas tertuduh bermula daripada tarikh tangkapan tahun lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahida Md Nor, manakala tertuduh diwakili peguam Diar Isda Yazmin Ismail.

Pada 10 Ogos lalu, Siti Nurraihan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu berbanding pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X