Jumaat, 17 Ogos 2018 | 4:57pm
GAMBAR fail, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto Asyraf Hamzah

Saman Bee Yin terhadap Jamal cuba diselesaikan secara baik

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan cuba diselesaikan secara baik.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam K Murali yang mewakili Bee Yin selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad di sini.

Menurutnya, jika tiada sebarang penyelesaian, kes itu akan diteruskan dengan perbicaraan pada 20 September dan 21 September ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, pada 14 Jun 2017, Bee Yin selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Jamal selaku defendan bagi menuntut ganti rugi RM5 juta atas dakwaan defendan mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah terhadap plaintif berhubung penyalahgunaan dana YAWAS.

Dalam pernyataan tuntutan, Anggota Parlimen Bakri, Johor itu mendakwa pihak defendan mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan itu disiarkan oleh beberapa akhbar dan portal berita serta turut diterbitkan dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Bee Yin mendakwa kenyataan itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau menyalahgunakan dana awam untuk kegunaan peribadi dan adalah seseorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif turut memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan itu.

Berita Harian X