Sabtu, 18 Ogos 2018 | 11:44pm
PDRM logo

2 maut Viva rempuh Saga

REMBAU: Dua maut manakala dua lagi parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer 40, Jalan Seremban-Tampin di sini, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam, berkata kejadian jam 5.10 petang itu meragut nyawa penumpang Proton Saga, Sulaiman Karimangkuto, 58, dan penumpang kereta Perodua Viva, V Harijachi, 64.

Katanya, nahas dipercayai berlaku apabila Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 66 tahun dari arah Seremban menghala ke Tampin hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan merempuh Proton Saga.

"Akibat rempuhan yang kuat, Sulaiman maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

"Tiga lagi mangsa yang parah dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pada jam 6.17 petang pihaknya menerima maklumat dari hospital seorang lagi mangsa iaitu Harijachi maut ketika menjalani rawatan di Unit Kecemasan Hospital Tampin.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Berita Harian X