Ahad, 19 Ogos 2018 | 11:02am
DUA penunggang motosikal yang ditahan anggota polis selepas cuba melarikan diri dan terbabas ke dalam longkang pada Operasi Khas Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Dua cedera, lari operasi cegah samseng jalanan

SEREMBAN: Dua samseng jalanan cedera di pergelangan tangan dan kaki apabila motosikal ditunggangi mereka terbabas ke dalam longkang ketika melarikan diri dalam Op Samseng Jalanan di Plaza Tol Senawang, di sini, awal pagi, hari ini.

Dua remaja berusia belasan tahun itu antara 76 individu yang ditahan dalam operasi besar-besaran dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Dalam operasi bermula jam 1 pagi itu, seramai 59 anggota polis dengan bantuan 10 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan 10 anggota penguat kuasa PLUS menutup beberapa jalan utama di Senawang.

Polis yang menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motosikal mengepung kumpulan samseng jalanan itu bermula dari Plaza Tol Seremban hingga ke Plaza Tol Senawang sejauh 10 kilometer.

Keadaan menjadi kelam kabut apabila kumpulan penungang motosikal terbabit memecut laju di lebuh raya hingga ke Plaza Tol Senawang, namun sebaik melepasi palang mereka gagal melarikan diri berikutan Jalan Persiaran Senawang dan beberapa persimpangan sudah dikepung.

SHARUL Othman Mansor pada sidang media Ops Samseng di Balai Polis Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Ada juga penunggang berpatah balik dan melawan arus untuk memasuki laluan susur keluar ke tol berkenaan.

Bagaimanapun, mereka tidak bernasib baik apabila jalan keluar juga sudah ditutup.

Dalam usaha meloloskan diri, dua penunggang motosikal terbabas ke dalam longkang di kawasan berhampiran bukit.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Sharul Othman Mansor, berkata operasi itu bertujuan untuk membasmi habis-habisan aktiviti samseng jalanan dalam kalangan anak muda yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

Katanya, operasi diadakan hasil risikan mendapati samseng jalanan bermaharajalela di daerah ini terutama pada waktu malam dipercayai membabitkan penganjuran lumba haram.

"Dalam operasi ini, kita melakukan pemeriksaan terhadap 76 individu dan merampas 71 motosikal. Semua kenderaan dan penunggang dibawa ke Balai Polis Senawang untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, 29 individu membabitkan remaja dan 12 daripadanya adalah pelajar.

"Sebanyak 81 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen menunggang, tiada cukai jalan, insurans tamat tempoh dan mengubahsuai kenderaan. Seramai 10 individu positif dadah dan diserahkan kepada pihak AADK," katanya.

Berita Harian X