Jumaat, 24 Ogos 2018 | 8:36am
MAYAT Shahir Aqil Shahrun dari tiga mangsa lemas di Pantai Teluk Kalong di sini, petang semalam, ditemui jam 4.30 pagi tadi. - Foto BERNAMA
MAYAT Shahir Aqil Shahrun dari tiga mangsa lemas di Pantai Teluk Kalong di sini, petang semalam, ditemui jam 4.30 pagi tadi. - Foto BERNAMA
ANGGOTA Bomba melakukan pencarian di persisir pantai bagi mengesan tiga pelajar yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Kalong. - Foto Rosli Ilham

Mayat pertama mangsa lemas ditemui

KUALA TERENGGANU: Mayat pertama dari tiga mangsa lemas di Pantai Teluk Kalong di sini, petang semalam, ditemui jam 4.30 pagi tadi.

Mayat pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Ibrahim, Johor, Shahir Aqil Shahrun, 19, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak 500 meter dari Pos Kawalan Bomba di pesisir pantai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Mohamad, berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut selepas keluarga mangsa membuat pengecaman.

"Operasi SAR dua lagi mangsa di laut diteruskan sejak jam 7 pagi tadi, dengan kekuatan seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kijal; Kemaman dan Chukai.

"Operasi di kawasan laut pagi ini diperluaskan sehingga dua kilometer dan turut mendapat bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," katanya ketika dihubungi pagi ini.


DARI kiri, Ahmad Daniel Firdaus Zubir, Khairil Ikmal Daniel Zamzuradi dan Shahir Aqil Shahrundi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang semalam, Shahir Aqil dari Gong Pauh, di sini, bersama dua lagi rakannya, Khairil Ikmal Danial Zamzuraidi, 19, dan Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, dari Taman Geliga Permai di sini, dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai berkenaan.

Khairil Ikmal dari Taman Zamina Indah, Geliga Besar, di sini ialah pelajar Diploma Pengajian Perniagaan, Politeknik Kok Lanas, Kelantan dan Ahmad Daniel Firdaus adalah pelajar Diploma Kulinari Universiti MSU, Kuala Lumpur.

Semua mangsa datang ke pantai berkenaan jam 5 petang semalam untuk mandi bersama empat lagi rakan lain, sebelum mereka dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan antara satu sama lain selepas ombak kuat dan air pasang.

Berita Harian X