Selasa, 28 Ogos 2018 | 3:36pm

Gigit badan isteri, pemandu Grab dipenjara 4 bulan

PETALING JAYA: Padah menggigit badan isteri kerana tidak menyediakan juadah berbuka puasa, seorang pemandu Grab dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shahrin Mohd Mokhtar, 28, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Dalam prosiding itu, sebaik hukuman dijatuhkan terhadap Mohd Shahrin, ibunya yang duduk di galeri awam menangis teresak-esak.

Mengikut pertuduhan, bapa anak satu itu didakwa dengan sengaja mencederakan Safizamira Sebri, 24, dengan cara menggigit, memukul serta menampar wanita itu sehingga luka di bahagian tangan, muka dan perut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Koi Tropika Kondominium, Puchong, di sini jam 3 petang, pada 30 Mei lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Firdaous Mohamad Idris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setimpal mengambil kira faktor mangsa adalah isteri tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia amat kesal atas perbuatannya dan perlu menanggung isteri dan anak yang berusia dua tahun selain ibu bapa yang sudah berusia.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian itu, isteri tertuduh berada di rumah kawannya sebelum lelaki itu mengamuk dan memanggilnya pulang untuk menyediakan juadah berbuka puasa.

Apabila sampai di rumah mereka, berlaku perselisihan faham yang menyebabkan tertuduh bertindak melambung, menggigit perut dan menampar wanita itu.

Berita Harian X