Jumaat, 31 Ogos 2018 | 9:45am
ANGGOTA polis bahagian forensik menyiasat di lokasi kejadian kes rompak kedai emas di sebuah pasar raya di Senawang, malam tadi. - Foto ihsan pembaca
ANGGOTA polis bahagian forensik menyiasat di lokasi kejadian kes rompak kedai emas di sebuah pasar raya di Senawang, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Barang kemas RM500,000 lesap

SEREMBAN: Tiga perompak bersenjatakan pistol dan parang melarikan beberapa dulang emas bernilai kira-kira RM500,000 dalam rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Senawang, malam tadi.

Difahamkan kejadian berlaku pada jam 8.30 malam ketika tiada pelanggan di kedai itu dengan dua penjenayah masuk ke dalam premis manakala seorang mengawal di luar premis.

Ketika kejadian dipercayai pemilik kedai tiada dan hanya pekerja berada di dalam premis.

Seorang daripada suspek mengacukan pistol kepada pekerja terbabit dan mengarahkannya berdiam sebelum seorang lagi suspek memecahkan cermin pameran menggunakan parang dan mengambil beberapa dulang emas.

Ketiga-tiga suspek kemudian lari keluar dari pasar raya berkenaan dan menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Berita Harian X