Ahad, 2 September 2018 | 10:47am
SEORANG pemandu bas dan seorang penumpang maut, manakala 36 lagi cedera selepas bas ekspres dua tingkat yang dinaiki terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana awal pagi tadi.

TERKINI: 2 disahkan maut, 20 lagi cedera - Polis

BATU GAJAH: Kemalangan maut membabitkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana awal pagi tadi mengorbankan nyawa pemandu dan seorang penumpang yang sedang dalam perjalanan dari Kota Bahru, Kelantan ke Lumut.

Dua mangsa yang maut adalah pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, pemandu bas dan Munzirah Jalaludin, 20, penumpang yang juga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri, berkata kejadian kira-kira jam 5 pagi itu membabitkan sebuah bas dengan 38 penumpang dan dua pemandu.

“Siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bahru ke Lumut dan semasa sampai di Kilometer 12.5 Jalan Ipoh - Lumut , Batu Gajah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu pemandu bas dan seorang penumpang perempuan meninggal dunia di tempat kejadian serta beberapa penumpang lain mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pemandu bas yang maut beralamat di Kampung Sungai Perupok, Bachok, Kelantan, manakala penumpang berkenaan pula beralamat Taman Desa Johan Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan.

“Penumpang yang maut itu adalah pelajar UiTM Seri Iskandar, dekat sini yang menuntut dalam jurusan diploma hartanah tahun ketiga.

“Mangsa yang cedera adala 14 pelajar luka luka kecil dan empat pelajar lagi cedera ringan manakala dua penumpang parah patah tangan dan luka berjahit di bahagian mulut serta mata,” katanya.

Ahmad Adnan berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan dan tindakan lanjut.

Berita Harian X