Ahad, 2 September 2018 | 1:20pm

Syabu RM54 juta dirampas

GEORGETOWN: Polis narkotik Bukit Aman merampas syabu 1,066 kilogram bernilai RM54 juta dalam serbuan di sebuah stor di Jelutong, Georgetown, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, rampasan dadah itu adalah yang terbesar di negara ini.

Beliau berkata, serbuan terbabit dilakukan jam 4 petang dan pihaknya menemui dadah berkenaan yang ketika itu disimpan dalam sebuah lori.

“Susulan daripada itu kita turut menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga pemandu lori bagi membantu siasatan.

“Kita percaya dadah terbabit dibawa masuk dari negara jiran kemungkinan melalui jalan darat atau laut ke negeri ini,” katanya.

Menurutnya, dadah itu dipercayai untuk dieksport ke luar negara oleh sindiket dan pihaknya kini masih menjalankan siasatan lanjut.

“Pulau Pinang dijadikan sebagai hub penyeludupan dan pengedaran dadah sebelum ia ditransit ke negara lain.

“Ini kerana negeri ini mempunyai laluan masuk melalui laut, darat serta udara dan ia memudahkan sindiket untuk menyeludup dadah masuk ke sini,” katanya.

Info

Kes rampasan dadah terbesar di negara ini pada 2018

21 Ogos

- Polis rampas syabu seberat 506 kg serta 26, 000 pil ecstacy bernilai RM26.1 juta dalam serbuan di enam lokasi berasingan di Pulau Pinang.

21 Julai

- Seorang anggota polis bantuan sebuah jabatan kerajaan ditahan selepas disyaki menganggotai sindiket pengedaran dadah yang menyeludup 156 kg syabu dianggarkan bernilai RM7.8 juta ke negara ini.

6 Julai

- Polis membongkar sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah selepas merampas 295 paket teh mengandungi 306 kg syabu bernilai RM15.3 juta dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Nerang, Kedah dan di Jelutong, Pulau Pinang.

- Dalam serbuan itu, seramai enam ahli sindiket terbabit berusia antara 19 hingga 37 tahun termasuk seorang wanita berusia 30 tahun berjaya diberkas.

1 April

- Polis menahan seorang individu dan merampas lebih 77 kg dadah syabu dianggarkan bernilai RM10.4 juta dalam serbuan di sebuah kedai menjual dan mengumpul barangan lusuh di Taman Gembira, Brickfields Kuala Lumpur.

29 Mac

- Polis menahan enam individu dan merampas syabu seberat 141.27 kg dianggarkan bernilai RM10 juta dari Thailand untuk dipasarkan di negara ini dalam serbuan di Kajang dan Gombak, Selangor serta Melaka.

SEBAHAGIAN dadah syabu yang dirampas bernilai RM54 juta semasa sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (lima dari kiri) bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A. Thaiveegan Arumugam (empat dari kiri) menujukkan sebahagian dadah syabu yang dirampas bernilai RM54 juta semasa sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh (lima dari kiri) bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A. Thaiveegan Arumugam (empat dari kiri) menujukkan sebahagian dadah syabu yang dirampas bernilai RM54 juta semasa sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. - Foto Ramdzan Masiam
Berita Harian X