Ahad, 2 September 2018 | 3:48pm
WARTAWAN sebuah akhbar tempatan di Melaka menunjukkan nombor telefon yang dipercayai 'scammer' wanita yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa mangsa menerima notis amaran daripada agensi berkenaan. - Foto Khairunisah Lokman

Nyaris diperdaya wanita menyamar pegawai SPRM

MELAKA: Seorang wartawan sebuah akhbar di negeri ini nyaris diperdaya sindiket ‘scammer’ wanita yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Modus operandi sindiket yang dipercayai berpangkalan di luar negara itu sengaja menggertak mangsa dengan mendakwa dia menerima notis amaran daripada agensi berkenaan, tengah hari ini.

Taktik penipuan itu bermula apabila wartawan lelaki berusia 40 tahun itu menerima panggilan voice over internet protocol (VOIP) yang tertera nombor antarabangsa, +478771851 dipercayai dari India, kira-kira jam 12 tengah hari.

Mangsa mendakwa, operator wanita di talian menyatakan dia mempunyai notis amaran berkuat kuasa hari ini daripada SPRM dan meminta dia menekan ‘0’ untuk berunding dengan pegawai perkhidmatan.

Katanya, panggilan kemudian disambut seorang wanita mengaku dirinya dari SPRM yang kemudian menyatakan mangsa menerima VOIP berikutan notis dihantar kepada orang awam kecuali membabitkan kes besar.

“Wanita berkenaan terus meneka nama penuh dan nombor kad pengenalan tanpa meminta maklumat peribadi itu daripada saya.

“Selepas memaklumkan mengenai pekerjaan, wanita berkenaan mahu membuat semakan lanjut namun panggilan diputuskan tanpa menghubungi saya semula,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mangsa kemudian menghubungi SPRM bagi mendapatkan pengesahan sama ada wujud panggilan sebegitu daripada agensi berkenaan, namun pihak berkenaan menafikannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi turut mengesahkan panggilan terbabit adalah sindiket ‘scam’ dan sudah banyak laporan dibuat membabitkan penyamaran SPRM.

Katanya, polis juga sudah melaporkan kes terbabit kepada pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Justeru, Mohd Nor Yhazid meminta orang ramai lebih berhati-hati dan tidak melayan panggilan daripada ‘scammer’ kerana dibimbangi menjadi mangsa penipuan sehingga mengakibatkan kerugian.

Beliau juga tidak menafikan, banyak butiran peribadi rakyat negara ini bocor.

Berita Harian X