Isnin, 3 September 2018 | 6:04pm
DUA wanita yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan melakukan hubungan sejenis hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjalani hukuman hari ini. - Foto Ghazali Kori
DUA wanita yang dijatuhi hukuman sebat atas kesalahan melakukan hubungan sejenis hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjalani hukuman hari ini. - Foto Ghazali Kori

Hukuman sebatan pertama terhadap kekasih songsang

KUALA TERENGGANU: Hukuman sebatan di khalayak ramai terhadap pasangan kekasih songsang di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini hari ini, adalah yang pertama dijalankan di Terengganu.

Pasangan lesbian yang berasal dari Dungun dan Kuantan, Pahang itu menjalani hukuman enam sebatan setiap seorang apabila mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Selepas ditangguhkan hukuman yang sepatutnya dilaksanakan pada 28 Ogos lalu akibat masalah teknikal yang dihadapi pihak Jabatan Penjara, pelaksanaannya berjalan lancar dengan disaksikan kira-kira 100 orang.

Patuh pada arahan mahkamah, kedua-dua wanita berusia 22 dan 32 tahun berkenaan hadir seawal jam 8.30 pagi secara berasingan dengan masing-masing mengenakan baju kurung dan bertudung.

Namun bagi mengelakkan wajah mereka dirakam lensa pihak media, kedua-dua pesalah menutup muka menggunakan tisu dan tudung sambil bergegas ke bilik yang disediakan bagi tujuan menukar pakaian dengan memakai baju kurung putih disediakan pengendali hukuman.

Kes syariah yang mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak ini menarik minat hampir 300 orang yang berkumpul di luar Dewan 2 Mahkamah Tinggi Syariah untuk melihat bagaimana hukuman dijalankan namun hanya 100 orang terdiri daripada wakil media, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil persatuan peguam dibenarkan berada di dalam dewan berkenaan.

Pada satu ketika, wakil Mahkamah Tinggi Syariah terpaksa mengarahkan kakitangannya yang turut tertarik mengikuti perjalanan prosedur hukuman sebat ini keluar meninggalkan dewan untuk memberi peluang media dan NGO menjadi wakil penyampai hukuman kepada masyarakat luar.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd; Hakim Kanan Syarie Terengganu, Rosdi Harun dan Hakim Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail tiba jam 9.55 pagi sebelum masuk ke kamar untuk memulakan pelaksanaan hukuman.

Terdahulu, ketika menunggu pintu dewan dibuka, rakan-rakan wartawan sempat membincangkan cara pelaksanaan hukuman sebat yang akan dijalankan namun yang ada di benak fikiran hanya visual filem arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Semerah Padi yang menggambarkan bagaimana watak Aduka (lakonan P Ramlee) dan Dara (Saadiah) diikat dan hampir disebat oleh Penghulu Hitam lakonan Daeng Idris.

Bagaimanapun, persoalan itu terungkai apabila Hakim Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail memerintahkan hukuman sebat dijalankan dengan pesalah pertama berusia 32 tahun dipanggil masuk ke dewan.

Selepas pembacaan pengesahan nama dan nombor kad pengenalan dibacakan, pegawai perubatan mengisytiharkan kepada mahkamah bahawa pesalah layak menjalani hukuman lalu tepat jam 10.10 pagi enam sebatan dikenakan terhadapnya oleh tukang sebat dari Penjara Wanita Kajang, Selangor.

Ketika itu, suasana di dalam dewan sepi tanpa suara manakala pemerhati tekun memerhatikan pelaksanaan hukuman.

Prosedur sebatan memakan hanya memakan masa selama satu minit sebelum pesalah keluar diiringi pegawai penjara.

Pada jam 10.15 pagi, pesalah kedua berusia 22 tahun pula dipanggil dan turut menjalani prosedur sama seperti pasangannya.

Namun situasinya berbeza apabila ketika hukuman dilaksanakan terhadap wanita itu, tangisan kecilnya mula kedengaran di dalam dewan bagaimanapun seperti pasangannya prosedur sebatan berjalan selama seminit sebelum dia diiringi keluar.

Kamalruazmi ketika memberi ucapan pembukaan menegaskan bahawa hukuman yang dilaksanakan bukanlah untuk menyakiti atau menzalimi pelaku, sebaliknya ia adalah untuk mendidik dan memberi pengajaran kepada semua perihal pelanggaran undang-undang mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Berita Harian X