Isnin, 3 September 2018 | 9:37pm

Sebat dalam hukum syarak tidak seperti digembar-gemburkan

KUALA TERENGGANU: Rata-rata orang ramai yang menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat ke atas dua wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu hari ini menyifatkan ia ‘tidak seperti yang digembar-gemburkan’.

Bagi yang pertama kali melihatnya akan merasa debar ketika di peringkat awal iaitu apabila nama tertuduh disebut dengan suara lantang dan melihat rotan di pegang oleh pegawai penjara bertubuh tegap dan besar.

Tetapi hakikatnya ia bukanlah seteruk disangka sepertimana pendapat seorang peguam, Sallehudin Harun, bahawa apabila menyaksikan sendiri barulah beliau memahami kaedah yang dimaksudkan dalam hukuman syariah.

“Saya merasakan pelaksanaan hari ini memberi gambaran yang lebih jelas kerana saya sebelum ini pun keliru, dibayangkan ia adalah hukuman yang keras tetapi apa yang berlaku sebaliknya untuk memberi gambaran positif kepada masyarakat dan saya rasa ia bukan satu isu untuk diperbesarkan,” katanya ketika sidang media selepas prosiding hukuman di sini, hari ini.

Bagi Rohani, 40, (bukan nama sebenar), meskipun kekuatan sebatan itu adalah sederhana sahaja tetapi ia cukup memberi keinsafan apatah lagi dilaksanakan di hadapan ibu bapa dan keluarga pesalah serta orang ramai.

Sebagai manusia biasa pastinya akan terdetik keinsafan di hati tertuduh dan bagi orang awam pastinya akan mendapat gambaran bahawa ia bukanlah satu hukuman yang kejam hingga mampu mengaibkan.

“Pesalah dipakaikan baju kurung dan bertudung sebagai menghormati aurat mereka. Pesalah juga diberi masa untuk bertenang sebelum sebatan dikenakan. Saya benar-benar bersyukur apabila dapat saksikan perkara ini dilaksanakan di Terengganu dan saya yakin akan menjadi pengajaran kepada semua,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Terengganu Mohd Hasbie Muda, berkata hukuman itu dilihat satu keperluan bagi mengekang penularan seks sejenis daripada berleluasa di negeri ini.

Isu itu tidak sepatutnya dipolitikkan memandangkan ia termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Dua wanita itu berusia 32 dan 22 tahun masing-masing dihukum sebat enam kali kerana cuba melakukan hubungan seks dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah. – BERNAMA

Berita Harian X