Isnin, 3 September 2018 | 10:03pm

SPRM tahan bekas ADUN wanita Selangor

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi membantu siasatan berkaitan salah guna kuasa berjumlah lebih RM50,000, hari ini.

Bekas ADUN wanita berusia 56 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 petang di Pejabat SPRM Selangor ketika hadir untuk memberi keterangan.

Sumber berkata bekas ADUN itu dipercayai melantik sebuah syarikat anaknya sebagai pembekal bagi Program Masyarakat Pusat Khidmat DUN.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu yang dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Difahamkan, suspek akan dibawa Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman esok.

Berita Harian X