Selasa, 4 September 2018 | 6:40pm

Kes tutup saman trafik, 4 direman

SHAH ALAM: Empat individu termasuk tiga anggota polis dari Bukit Aman ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan bagi menutup saman trafik.

Tiga anggota polis masing-masing berpangkat Sarjan, Koperal dan Lans Koperal bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, manakala orang awam terbabit disyaki bertindak sebagai ‘runner’.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin terhadap suspek yang berusia antara 29 hingga 33 tahun.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semua suspek ditahan di rumah masing-masing di sekitar Kuala Lumpur, Kajang dan Shah Alam dalam operasi yang dijalankan oleh penguatkuasa SPRM Pulau Pinang dengan bantuan SPRM Selangor.

Difahamkan, semua suspek melakukan kegiatan rasuah itu antara 2016 hingga 2017.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X