Khamis, 6 September 2018 | 10:39am
MAZLAN Mansor

Polis nafi tahan anak tiri CEO Cradle

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menafikan pihaknya menahan dua remaja berhubung kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, yang maut dalam kebakaran pada Jun lalu.

Beliau mengulas laporan media mengenai dua remaja terbabit yang juga anak tiri kepada Nazrin ditahan di rumah datuk mereka kira-kira jam 9.30 malam tadi.

"Laporan itu tidak betul. Jumlah tangkapan masih kekal dua orang setakat ini," katanya ringkas ketika dihubungi NSTP melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Terdahulu, akhbar terbabit yang memetik kenyataan sumber melaporkan dua remaja lelaki yang masih bersekolah itu ditahan bagi membantu siasatan kematian Nazrin selepas pemeriksaan forensik menemui dua lubang pada lehernya kesan daripada anak panah.

Menurut laporan akhbar itu lagi, kedua-duanya ditahan selepas soal siasat ke atas kedua-dua ibu mereka yang ditahan terlebih dahulu mendapati anak mereka itu mempunyai kemahiran dalam sukan memanah.

Kelmarin, polis menahan bekas isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya, kedua-duanya berusia 43 tahun bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

FADZIL Ahmat

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

"Kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund yang maut pada 14 Jun lalu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Ini dibuat berdasarkan laporan bomba dan keputusan bedah siasat yang diperoleh," katanya.

Dalam tragedi 14 Jun lalu itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Syarikat Cradle Fund dalam kenyataannya sehari selepas kejadian, mengesahkan laporan bedah siasat kematian pegawainya, Nazrin berpunca daripada letupan telefon pintar.

Mangsa yang jawatan terakhirnya di syarikat itu sebagai juga Ketua Pegawai Eksekutif, sudah berkhidmat di syarikat yang sama sejak 15 tahun lalu.

Cradle Fund, syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini.

Kronologi kes kematian Nazrin

14 Jun

- JBPM menerima panggilan terdapat kebakaran di sebuah rumah dua tingkat di Mutiara Homes, Petaling Jaya

- JBPM menemui mayat seorang lelaki dengan kesan terbakar di bilik tingkat atas yang terbakar

- Mangsa yang meninggal disahkan sebagai Nazrin. Balu serta anak Nazrin yang berada di ruang tamu bahagian bawah rumah dikatakan tidak menyedari berlaku kejadian kebakaran dan Nazrin berada berseorangan di dalam bilik

- Kes pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)

16 Jun

- Syarikat Cradle Fund Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan bahawa hasil bedah siasatan mengesahkan kematian Nazrin berpunca daripada letupan telefon pintar dan menyebabkan beberapa komplikasi kecederaan pada tubuh

25 Jun

- Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid memaklumkan sudah selesai menjalankan siasatan terhadap punca kebakaran meragut nyawa Nazrin

- Siasatan menggunakan dua kaedah iaitu kaedah siantifik dan menggunakan unit Anjing Pengesan (K9P di lokasi kejadian

6 Ogos

- Polis menyiasat semula kes kematian Nazrin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berdarakan laporan forensik JBPM

8 Ogos

- Polis mengambil keterangan beberapa individu termasuk keluarga Nazrin

14 Ogos

- Samirah membidas JBPM kerana tidak dimaklumkan mengenai hasil maklumat siasatan dijalankan selain mendakwa JBPM mengeluarkan tuduhan tidak benar serta bercanggah dengan laporan dikeluarkan Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur

15 Ogos

- Polis sahkan Samirah antara individu yang disiasat polis dan meminta wanita itu tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebaliknya menyerahkannya kepada polis untuk menjalankan siasatan

Berita Harian X