Jumaat, 7 September 2018 | 10:56am

Lelaki maut nahas dua kereta

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut selepas Toyota Corolla dipandunya merempuh PROTON Persona di Jalan Utama, Serdang Raya, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata mangsa berusia dalam lingkungan awal 30-an meninggal dunia di tempat kejadian, kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati Toyota Corolla dipandu mangsa dari Bukit Jalil menghala ke Seri Kembangan melanggar PROTON Persona itu yang dipercayai memasuki lorong jalan kenderaan mangsa.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik di tempat kejadian manakala pemandu PROTON Persona pula cedera ringan dan sedang mendapatkan rawatan di hospital.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berita Harian X