Jumaat, 7 September 2018 | 5:51pm

Anggota RELA maafkan Datuk Seri

AMPANG: Salah seorang daripada tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang diserang dan dicederakan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri akhir tahun lalu, sudah menarik balik laporannya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim ketika kes disebut semula di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Menurutnya, pihak pendakwaan dimaklumkan bahawa mangsa bernama Melvin Cheong Mun Khai, 22, sudah menarik balik laporan polisnya.

“Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan bagaimanapun kami menerima arahan untuk memohon perintah melepaskan tanpa membebaskan tertuduh bagi dua kes yang membabitkan Melvin.

“Keputusan dibuat selepas pihak pendakwaan meneliti rakaman percakapan lanjut dan akuan berkanun mangsa yang sudah memaafkan tertuduh dan tidak berminat untuk meneruskan kes,” katanya.

Bagaimanapun, Norhashimah berkata dua lagi mangsa dalam kes itu masih mahu meneruskan kes terhadap tertuduh.

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Datuk Seri Liow Soon Hee, 30, memohon supaya anak guamnya dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan atas alasan laporan utama sudah ditarik balik.

Norhashimah berhujah bahawa walaupun laporan itu sudah ditarik balik tetapi ia hanya membabitkan seorang mangsa.

“Laporan polis itu hanya sebagai instrumen (alat) untuk pihak kami memulakan siasatan dan dalam siasatan kami terdapat dua orang lagi mangsa yang perlu diambil kira,” katanya.

Majistret Mohamad Firdaus dalam keputusannya membenarkan permohonan pendakwaan untuk melepaskan tanpa membebaskan Soon Hee daripada dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan menghalang Melvin menjalankan tugas.

Perbicaraan membabitkan dua lagi mangsa iaitu Lee Weng Poh, 28, dan Leong Jun Jie, 22, diteruskan dan akan bersambung 9 November ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Rela, Mohamad Razib Buhaini ketika ditemui berkata pihaknya terkejut dengan tindakan Melvin dan ia bukan arahan daripada pihaknya.

“Anggota ini membuat keputusan sendiri dan kami berharap dua lagi anggota meneruskan kes kerana ia membabitkan maruah dan integriti RELA.

“Kami mendapat tahu berhubung perkara itu Rabu lalu pada saat akhir ketika perbicaraan akan dimulakan. Kami semua terkejut dengan keputusan itu, bagaimanapun keadilan perlu ditegakkan dan maruah anggota perlu dipertahankan,” katanya.

Soon Hee yang tidak mengaku bersalah, didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas Melvin, Weng Poh dan Jun Jie di perkarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada jam 6.30 pagi, 27 Oktober 2017.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Soon Hee turut didakwa dengan niat menyerang penjawat awam, iaitu Melvin yang sedang menjalankan tugasnya sebagai anggota RELA di tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X