Sabtu, 8 September 2018 | 12:47pm
FOTO hiasan.

2 mahasiswa ditahan enggan surai protes pelantikan Maszlee

KUALA LUMPUR: Dua mahasiswa yang menyertai protes di kawasan Kompleks Kerajaan Parcel E di Putrajaya, semalam, ditahan polis kira-kira jam 2 pagi tadi.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, ketika mengesahkan perkara itu berkata mereka yang bersama sekumpulan mahasiswa dan aktivis membantah pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), ditahan kerana enggan bersurai seperti diarahkan polis.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua mahasiswa itu sudah dibebaskan kira-kira jam 7 pagi selepas pegawainya mengadakan perbincangan dengan polis atas dasar kemanusiaan dan ambil berat mengenai kebajikan mereka.

“Walaupun kumpulan protes itu mendesak saya mengikut cakap mereka serta-merta tanpa kompromi, semalam, saya tetap menghormati hak mereka untuk bersuara.

“Kebebasan bersuara mahasiswa dan autonomi universiti akan terus diperkasakan. Saya akan meneruskan dasar pintu terbuka bertemu dengan pemegang taruh demi memartabatkan sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sekumpulan mahasiswa mengadakan protes di kawasan Kompleks Kerajaan Parcel E yang menempatkan Kementerian Pendidikan, bagi menggesa Maszlee meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM.

Rabu lalu, UIAM mengumumkan pelantikan Maszlee sebagai Presiden ketujuh universiti itu, sekali gus mencetuskan polemik berikutan kedudukannya sebagai Menteri Pendidikan dikhuatiri boleh menimbulkan konflik kepentingan.

Pelantikan itu yang mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Perlembagaan UIAM, turut dibantah beberapa pihak, antaranya Ketua Sayap Muda Sosialis DAP (DAPSY) Bahagian Petaling Jaya Utara, Lim Yi Wei, dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, beliau mengarahkan pegawainya membenarkan kumpulan mahasiswa dan aktivis terbabit mengadakan bantahan secara aman, dan memberi layanan mesra kepada mereka, termasuk menyediakan makanan, minuman serta keperluan asas lain.

Malah, beliau berkata, Penasihat Khasnya, Wan Saiful Wan Jan turut diarah bertemu dan mengaturkan pertemuan antara beliau dengan kumpulan berkenaan pada Rabu depan.

“Saya tidak dapat memenuhi permintaan kumpulan protes itu yang berkeras mahu bertemu secara bersemuka dan mengikut tuntutan mereka agar melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM dengan serta-merta, kerana saya berada di Sarawak untuk lawatan kerja ketika ini,” katanya.

Namun, beliau berkata, kumpulan itu berkeras duduk di tangga masuk bangunan Kementerian Pendidikan selagi tidak bertemu dengannya serta-merta.

Bagaimanapun, katanya, keadaan bertukar kecoh apabila mereka membentang tikar di hadapan pagar utama Parcel E yang turut menempatkan beberapa kementerian lain, sekali gus menghalang laluan itu.

“Pegawai saya memujuk mereka bersurai atau kembali mengadakan protes aman itu di kawasan Kementerian Pendidikan kerana pagar utama adalah tempat awam bagi pelbagai kementerian, tetapi mereka enggan.

“Polis juga menasihatkan mereka supaya tidak menjalankan protes di hadapan pagar utama atas faktor keselamatan. Namun selepas enggan bersurai, polis mengambil tindakan menyuraikan protes itu sekitar jam 2 pagi,” katanya.

Berita Harian X