Ahad, 9 September 2018 | 11:11am

Polis tahan anak tiri CEO Cradle Fund

PETALING JAYA: Polis menahan dua anak tiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, yang maut dalam kebakaran pada Jun lalu, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu.

“Kita tahan dua remaja lelaki, berusia 16 dan 14 tahun petang semalam. Mereka ditahan di Taman Tun Dr Ismail kira-kira jam 4 petang.

“Permohonan reman ke atas keduanya akan dibuat pagi ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya,” katanya hari ini.

Khamis lalu, media melaporkan dua remaja lelaki yang masih bersekolah itu ditahan bagi membantu siasatan kematian Nazrin selepas pemeriksaan forensik menemui dua lubang pada lehernya kesan daripada anak panah.

Menurut laporan itu lagi, kedua-duanya ditahan selepas soal siasat ke atas ibu mereka yang ditahan terlebih dahulu mendapati mereka mempunyai kemahiran dalam sukan memanah.

Bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, menafikan laporan penahanan itu dan memaklumkan jumlah tangkapan masih kekal dua orang.

Pada 4 September lalu, polis menahan balu Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya, kedua-duanya berusia 43 tahun, bagi membantu siasatan kes itu sebelum mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Tiga hari kemudian, polis membebaskan bekas suami Samirah.

Pada 3 Ogos lalu, Fadzil mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

“Kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund yang maut pada 14 Jun lalu diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ini dibuat berdasarkan laporan bomba dan keputusan bedah siasat yang diperoleh,” katanya.

Dalam tragedi 14 Jun itu, Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Syarikat Cradle Fund, dalam kenyataan sehari selepas kejadian, mengesahkan kematian pegawainya itu berpunca daripada letupan telefon pintar.

Mangsa yang jawatan terakhirnya di syarikat itu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, sudah berkhidmat di syarikat yang sama sejak 15 tahun lalu.

Cradle Fund, syarikat di bawah Kementerian Kewangan berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini.

Berita Harian X