Rabu, 12 September 2018 | 6:54pm

Penganggur ragut wanita kena 5 tahun penjara, 3 sebatan

PETALING JAYA: Tindakan seorang penganggur meragut eksekutif pasar raya yang menunggang motosikal sehingga mencederakan mangsa, akhirnya membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Azwarnida Affandi, menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Afiq Othman, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu, bermula hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Afiq didakwa melakukan samun terhadap Zarina Omar, 46, dengan merompak sebuah beg sandang dan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada kedua-dua lutut, jari kiri, tangan dan siku kanan, bahu serta belakang badan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Intan 2/6, Taman Puchong Intan, Puchong, di sini, jam 10.15 malam, pada 15 Februari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam Izleen Ismail, memohon dikenakan hukuman penjara singkat dengan alasan pesalah muda dan takut terpengaruh dengan banduan lain jika dipenjarakan untuk tempoh lama.

“Tertuduh pernah mengalami kemalangan jalan raya dan perlu menjalani fisioterapi setiap dua minggu di Hospital Serdang kerana cedera pada bahu dan patah jari kanan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman berat berbentuk pencegahan untuk memberi keinsafan.

“Ini kesalahan serius dan mangsa dalam kes ini diragut dan bergelut ketika tertuduh cuba mengambil beg yang diletakkan di dalam bakul motosikal.

“Saya difahamkan jari kelingking mangsa juga patah akibat bergelut dengan tertuduh dalam kejadian itu dan tidak boleh membawa motosikal akibat trauma,” katanya.

Berita Harian X