Selasa, 18 September 2018 | 3:53pm
- Gambar hiasan

Dua dituduh mengedar dadah

KOTA KINABALU: Dua sahabat berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamin, tahun lalu.

Tertuduh, Jeefrey Apik, 23, dan Amir Afandi, 45, dituduh mengedar dadah seberat 156.97 gram di hadapan sebuah rumah kedai di Lorong Kelapa, Batu 5 1/2 Jalan Tuaran, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, 19 Disember lalu.

Kedua-dua mereka yang mengaku tidak bersalah, didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk kesalahan mengedar dadah berbahaya dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad menetapkan 27 September ini untuk pengurusan kes sebelum perbicaraan kes dijalankan.

Kes pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun, manakala kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam, Luke Ressa Balang dan Arthur Bonnie.

Berita Harian X