Jumaat, 21 September 2018 | 8:35pm
TAN Sri Noor Rashid Ibrahim ketika sidang media pada Majlis perasmian penutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara di Setapak. - Foto ASWADI ALIAS
TAN Sri Noor Rashid Ibrahim ketika sidang media pada Majlis perasmian penutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara di Setapak. - Foto ASWADI ALIAS

IPCMC mampu tingkat integriti PDRM - Noor Rashid

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memperkasakan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang akan dikenali sebagai Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) mampu mempertingkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata pihaknya menyambut baik keputusan itu dan mahu melihat bagaimana ia akan dilaksanakan.

Katanya, ia bagi memastikan keadilan kepada semua pihak yang berkenaan dapat dicapai.

“Kita sambut dengan baik dan akan melaksanakannya dengan baik, kita akan pastikan anggota kita terbela.

“Pada masa yang sama, kita akan terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada masyarakat.

“Kita positif apa juga keputusan oleh kerajaan sudah mengambil kira kepentingan semua pihak yang berkaitan seperti polis, masyarakat dan pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menyempurnakan majlis penutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara di Setapak, di sini, hari ini.

Noor Rashid berkata, pihaknya berharap kerajaan juga dapat mempertimbangkan supaya PDRM diberikan peruntukan untuk memperkukuhkan perkhidmatan kerana ia berkait rapat dengan peningkatan keupayaan.

“Kita sudah memohon kepada kerajaan untuk melihat dari segi peruntukan latihan supaya kita dapat memperbanyakkan latihan dan memperluaskannya kepada seluruh warga PDRM.

“Ini dapat memperhebatkan kecekapan warga PDRM sekali gus dapat terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra, Putrajaya, hari ini berkata kerajaan bersetuju supaya EAIC diperkasakan dan dikenali sebagai IPCMC.

Perdana Menteri berkata suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan pemantau bebas yang lebih holistik ekoran banyak aduan diterima berkaitan anggota dan pegawai PDRM.

Berita Harian X