Sabtu, 22 September 2018 | 6:07pm
SEBAHAGIAN daripada 338 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam Ops Bersepadu di jalankan di sebuah kawasan kilang di Cyberjaya, petang semalam.
SEBAHAGIAN daripada 338 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam Ops Bersepadu di jalankan di sebuah kawasan kilang di Cyberjaya, petang semalam.

338 PATI dicekup

CYBERJAYA: Seramai 338 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di sebuah kilang di sini, ditahan Jabatan Imigresen (Imigresen) dalam Ops Bersepadu, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata serbuan dijalankan Unit Operasi Khas, Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Imigresen pada jam 6 petang itu membabitkan kekuatan seramai 71 anggota.

Katanya, dalam operasi itu, seramai 2,230 orang termasuk warga tempatan diperiksa dan Imigresen berjaya menahan 338 warga asing membabitkan warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas tiga blok kilang yang terbabit dalam operasi pembuatan, pembungkusan dan logistik di mana setiap satunya mempunyai antara 400 hingga 500 pekerja.

“Hasil pemeriksaan itu, Imigresen menahan 172 wanita dan 36 lelaki Indonesia, tiga wanita dan 25 lelaki Myanmar, 55 lelaki Bangladesh dan 47 lelaki Nepal kerana tidak mempunyai dokumen sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafar berkata, kebanyakan yang ditahan didapati menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) milik syarikat lain serta melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, beberapa syarikat juga dikesan melanggar undang-undang dengan mengambil jalan mudah mengupah pekerja yang sepatutnya bekerja untuk syarikat lain.

“Menerusi permit PLKS dikeluarkan, seseorang itu hanya boleh bekerja di alamat, kawasan serta tempat yang tertera dalam permit itu.

“Dalam operasi semalam, kebanyakan mereka tidak mengikuti peraturan berkenaan dan ditahan kerana melanggar syarat pas berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan lain dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pelanggaran syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, semua tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Bukit Jalil bagi tujuan siasatan serta tindakan susulan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X