Sabtu, 22 September 2018 | 11:40pm

Suspek liwat 9 pelajar tahfiz sudah didakwa

KUALA LUMPUR: Suspek kes liwat sembilan pelajar tahfiz di Kepong, di sini, sudah didakwa dengan 11 pertuduhan di Mahkamah Seksyen Putrajaya, Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata suspek dituduh di Mahkamah Seksyen Putrajaya mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Laporan polis dibuat oleh seorang guru di pusat tahfiz berkenaan yang tampil bersama kesemua mangsa pada 13 September lalu.

"Sembilan pelajar pusat tahfiz itu berusia 11 hingga 16 tahun memaklumkan kepada guru berkenaan mengenai perbuatan suspek, 30-an, yang juga pengetua pusat tahfiz terbabit yang mencabul dan meliwat mangsa," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes seumpamanya diminta tampil melaporkan perkara itu kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

Hari ini, NSTP melaporkan seorang pemilik pusat tahfiz di Kepong, di sini, ditahan pihak polis selepas disyaki melakukan gangguan seksual selain meliwat penuntut berusia belasan tahun sejak beberapa bulan lalu.

Berita Harian X