Ahad, 23 September 2018 | 2:48pm

Polis Kelantan rampas pil kuda RM23.6 juta

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan seorang pemandu lori bersama lebih sejuta pil kuda bernilai RM23.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Stol Alor Pasir, Pasir Mas minggu lalu.

Dalam serbuan jam 1.15 pagi Khamis lalu itu, polis turut merampas Perodua Kancil bernilai RM5,000 dan satu televisyen berharga kira-kira RM800.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata serbuan dilakukan selepas menerima maklumat orang ramai.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, pihaknya berjaya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang berada di hadapan rumah terbabit.

“Pemeriksaan lanjut, polis menemui 197 guni dengan tulisan Thailand berisi lebih sejuta pil kuda dalam bilik tidur yang dijadikan stor untuk menyimpan dadah berkenaan. Ini adalah rampasan dadah terbesar yang direkodkan polis Kelantan pada tahun ini.

“Siasatan awal, suspek adalah penjaga stor berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pil itu dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari negara jiran untuk dijual kepada penagih di Kota Bharu dan Rantau Panjang.

“Siasatan awal polis mendapati bekalan dadah itu boleh digunakan kepada kira-kira 1 juta pengguna di negeri ini yang dijual RM20 sebiji,”katanya.

Katanya, polis percaya suspek adalah seorang daripada ahli kumpulan sindiket dadah tempatan yang memulakan aktiviti haram mereka sejak Ogos tahun lalu.

“Kita sedang mengesan saki baki ahli sindiket itu dan ketua mereka. Pemeriksaan awal, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dalam pemeriksaan air kencing.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 20 Ogos bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

KETUA Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan, (dua dari kanan) menunjukkan rampasan pil kuda sebanyak 1,182,000 biji yang berjumlah RM23,640,000 yang di rampas dalam serbuandi sebuah rumah di Kampung Banggol Stol Alor Pasir, Pasir Mas. - Foto Fathil Asri
Berita Harian X