Isnin, 24 September 2018 | 6:19pm
Telefon pintar milik Nur Filzah yang dipercayai terlebih cas dan menyebabkan tangannya melecur. - Foto Ihsan FB Nur Filzah
Telefon pintar milik Nur Filzah yang dipercayai terlebih cas dan menyebabkan tangannya melecur. - Foto Ihsan FB Nur Filzah

'Tersedar kerana lengan pedih...'

KUALA LUMPUR: Seorang kerani bank melecur di lengan selepas tersentuh telefon pintarnya yang dipercayai terlebih cas di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam, awal pagi semalam.

Kejadian jam 4.20 pagi itu hampir menyebabkan kebakaran apabila tilamnya mulai terbakar, disyaki kesan suhu tinggi telefon pintar berkenaan.

Nur Filzah Abdul Rahman, 24, berkata telefon pintar yang dicas itu diletak di atas tilam.

“Saya mengecas telefon pintar sebelum tidur dan biasanya saya letakkan di lantai, namun malam itu saya letakkan di atas tilam sebelah kiri saya.

“Saya terjaga kira-kira jam 4.20 pagi apabila berasa panas di belakang badan. Ketika mengiring ke kiri, saya terkuis telefon dan lengan saya terasa pedih.

Lengan kiri Nur Filzah melecur selepas terkena telefon pintarnya yang dipercayai terlebih cas. - Foto Ihsan FB Nur Filzah
Lengan kiri Nur Filzah melecur selepas terkena telefon pintarnya yang dipercayai terlebih cas. - Foto Ihsan FB Nur Filzah

“Saya terus menghidupkan suis lampu dan sebaik keadaan terang, baru saya sedari bilik dipenuhi asap dan tilam saya berbara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Filzah berkata, tilam berkenaan disyaki terbakar akibat suhu panas telefon pintarnya.

Beliau dan rakan serumah bergegas mengambil sebaldi air dan dicurah ke atas tilam bagi mengelak kebakaran sebelum ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Berita Harian X