Rabu, 26 September 2018 | 4:44pm
MARITIM Malaysia menahan bot nelayan Indonesia bersama seorang tekong dan empat awak-awak yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara pada kedudukan kira-kira 45 batu nautika dari Barat Daya Pulau Kendi berhampiran Pulau Pinang. - Ihsan Maritim Malaysia

Bot nelayan asing ceroboh perairan negara ditahan

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan bot nelayan Indonesia bersama seorang tekong dan empat awak-awak kerana menangkap ikan di perairan negara, semalam.

Bot nelayan tanpa nombor pendaftaran itu ditahan di kedudukan kira-kira 45 batu nautika dari Barat Daya Pulau Kendi, berhampiran Pulau Pinang, pada jam 11.01 pagi.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Wan Mat Wan Abdullah, berkata bot nelayan asing itu ditahan sepasukan anggota Kapal Maritim Marlin yang sedang melakukan rondaan di perairan negara.

Katanya, pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

“Pemeriksaan turut mendapati kru warga asing terbabit tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Tekong dan awak-awak berkenaan berusia antara 31 hingga 53 tahun kemudian ditahan untuk tindakan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

Wan Mat berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran.

“Bot bersama tekong dan awak-awak dibawa ke Jeti Batu Maung, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X