Khamis, 27 September 2018 | 11:59am

Ibu tunggal cuba melacur dihukum penjara, sebat

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba melacurkan diri, di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Hakim Tinggi Syarie, Rosdi Harun memerintahkan hukuman sebatan itu dilaksanakan di tempat tertuduh menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan.

Beliau juga memerintahkan hukuman itu dilaksanakan selepas tempoh 14 hari sekiranya tertuduh tidak mengemukakan rayuan.

Tertuduh hanya tunduk ketika hukuman dibacakan terhadapnya.

Rosdi ketika membacakan penghakimannya menyatakan kekecewaan terhadap sikap wanita berusia 30 tahun itu yang tidak menunjukkan tanda keinsafan sepanjang prosiding dijalankan.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada seorang anak perempuan berusia tujuh tahun itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Tertuduh yang bekerja sebagai pencanting batik sambilan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar raya ini bersama seorang pelanggan pada 17 September antara jam 11.20 malam hingga 11.45 malam.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Syarie, Khazmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam satu serbuan penguatkuasa syariah daerah di bilik bernombor 507 di hotel berkenaan dan melakukan rampasan terhadap 11 barangan yang disahkan milik wanita itu termasuk kondom, minyak pelincir, coli dan seluar dalam.

Difahamkan, tertuduh juga menerima bayaran sebanyak RM100 daripada pelanggan untuk melakukan perbuatan itu pada hari sama ketika ditahan.

Dalam prosiding sebelum ini, tertuduh mengakui terpaksa melakukan perbuatan itu kerana memerlukan wang untuk menyara kehidupannya dan anak perempuan berusia tujuh tahun yang dijaga oleh kakaknya di Klang, Selangor.

SEORANG ibu tunggal (tengah) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan enam sebatan selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba melacurkan diri. - NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X