Khamis, 27 September 2018 | 5:21pm

Guna kereta mewah seludup ganja

PADANG BESAR: Akibat khayal syabu, seorang lelaki warga tempatan terlepas cakap apabila mengaku membawa sejumlah 54 kilogram (kg) ganja bernilai RM135,000 di dalam kereta mewah yang dipandunya ketika ditahan di Wang Kelian di sini, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata suspek berusia 26 tahun yang memandu kereta jenis Audi A4 ditahan kira-kira jam 10.30 pagi ketika cuba melepasi Pos Kawalan AKSEM.

“Keadaan diri suspek yang gelisah, cemas dan khayal ketika berhenti di hadapan pegawai AKSEM menimbulkan keraguan dan selepas didesak, dia secara tidak sengaja mengaku membawa ganja.

“Kita percaya suspek hanya orang suruhan saja dan tidak menolak kemungkinan kumpulannya terbabit dalam rangkaian pengedaran dadah antarabangsa membabitkan sindiket Thailand, Malaysia dan beberapa negara lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini, hari ini.

Megat Mohamad berkata, sindiket terbabit juga dipercayai menggunakan kenderaan mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kereta jenis Audi A4 yang dipandu suspek didapati sudah diubahsuai termasuk memiliki ruangan khas bagi menyembunyikan ganja berkenaan.

“Kita percaya suspek sudah beberapa kali melakukan kegiatan ini berikutan kuantiti ganja yang dibawa kali ini adalah banyak,” katanya.

Semakan mendapati lelaki berkenaan turut memiliki tiga rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan kes samun.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957 dan kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Padang Besar.

TIMBALAN Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Datuk Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias (dua dari kanan) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, hari ini. - Foto Azhar Ramli
Berita Harian X