Rabu, 3 Oktober 2018 | 11:11am

Rosmah ke SPRM untuk kali ketiga

PUTRAJAYA: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada jam 10.42 pagi ini.

Rosmah dilihat masuk ke perkarangan SPRM menaiki kenderaan Proton Perdana dengan diiringi satu lagi kenderaan.

Beliau yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda masuk ke lobi Ibu Pejabat SPRM dengan diiringi beberapa kakitangan suruhanjaya berkenaan.

Difahamkan, Rosmah disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram.

Ini kali ketiga beliau hadir memberi keterangan di sini dan difahamkan, mungkin kali terakhir Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dihadapkan ke mahkamah terhadap beberapa pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Kali pertama beliau hadir di SPRM ialah pada 5 Jun lalu bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 September lalu, Rosmah sekali lagi memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Tindakan memanggil beliau adalah bagi membolehkan siasatan selanjutnya berhubung lebih 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan kes pengubahan wang haram.

Terdahulu, peguamnya, Datuk K Kumaraendran dilihat memasuki bangunan di sini, jam 10.04 pagi.

ROSMAH tiba di bangunan ibu pejabat SPRM tepat jam 10.42 pagi ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
ROSMAH tiba di bangunan ibu pejabat SPRM tepat jam 10.42 pagi ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
ROSMAH yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda masuk ke lobi Ibu Pejabat SPRM dengan diiringi beberapa kakitangan SPRM. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
ROSMAH yang memakai baju kurung dan selendang hijau muda masuk ke lobi Ibu Pejabat SPRM dengan diiringi beberapa kakitangan SPRM. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
ROSMAH disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
ROSMAH disoal siasat berhubung syarikat subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan pengubahan wang haram. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X