Rabu, 3 Oktober 2018 | 11:37am
RAMKARPAL (dua dari kiri) dan Sithambaran (dua dari kanan) ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya sudah bersedia dengan bantahan awal bagi kes ini. - NSTP/Danial Saad
RAMKARPAL (dua dari kiri) dan Sithambaran (dua dari kanan) ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya sudah bersedia dengan bantahan awal bagi kes ini. - NSTP/Danial Saad

Permohonan kaji keputusan kes Guan Eng 12 Oktober

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh bagi mendengar permohonan untuk mengkaji dan mengetepikan keputusan rasuah Lim Guan Eng dan Phang Li Koon, baru-baru ini.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, berkata ia berikutan kelewatan pemohon Muhsin Abdul Latheff menyerahkan notis kepada mahkamah bagi menjelaskan kegagalan peguamnya Gunamalar Joorindanjn untuk menghadiri sesi berkenaan.

“Pemohon (Muhsin) baru hantar surat kepada mahkamah menjelaskan tarikh pendengaran (hari ini) tidak sesuai bagi beliau dan memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu selepas 9 Oktober ini.

“Kalau ikut, saya boleh buang permohonan ini dalam tempoh lima minit sahaja dan tak perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain. Bagaimanapun, pemohon mengemukakan surat baharu yang kandungannya tidak sama seperti sebelum ini.

“Jika mahkamah tidak beri penangguhan nanti akan timbul isu dan kata mahkamah tidak adil kerana tidak berbuat demikian. Justeru, saya tetapkan 12 Oktober ini untuk mendengar permohonan dan kes akan berjalan juga sekiranya peguam gagal hadir,” katanya.

Sebelum ini, Muhsin memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah bahawa keputusan kes rasuah Guan Eng dan Li Koon boleh dikaji semula dan diketepikan, atau diubah dan digantikan dengan perintah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan ahli perniagaan itu dilepaskan tanpa dibebaskan.

MUHSIN menamakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM sebagai responden pertama, manakala Guan Eng (responden kedua) dan Li Koon (responden ketiga), pada 19 September lalu. - NSTP/Danial Saad
MUHSIN menamakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM sebagai responden pertama, manakala Guan Eng (responden kedua) dan Li Koon (responden ketiga), pada 19 September lalu. - NSTP/Danial Saad

Dalam permohonan itu, Muhsin menamakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai responden pertama, manakala Guan Eng (responden kedua) dan Li Koon (responden ketiga), pada 19 September lalu.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala Guan Eng diwakili peguam Ramkarpal Singh dan Li Koon diwakili peguam Datuk V Sithambaram.

Sementara itu, Ramkarpal dan Sithambaram ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya sudah bersedia dengan bantahan awal bagi kes itu.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini, melepas dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian satu lot tanah dan banglo.

Keputusan sama juga diberikan terhadap Li Koon daripada dakwaan bersubahat.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara, untuk menggugurkan tuduhan berkenaan pada 6 Julai lalu.

Pada prosiding itu, Masri memohon kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan, namun Ramkarpal dan Sithambaram masing-masing mewakili Guan Eng dan Li Koon memohon mahkamah memberikan perintah bagi kebebasan penuh.

Berita Harian X