Khamis, 4 Oktober 2018 | 5:40pm
ANGGOTA penyelamat di lokasi kejadian enam anggota bomba lemas bersama seorang awam di Taman Putra Perdana Puchong. - Foto Rosdan Wahid

Lelaki hampir lemas cuba selamatkan Fahmy

PUCHONG: Seorang lelaki hampir lemas ketika menyelam dalam usaha menyelamatkan Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang dilaporkan lemas di Lombong Taman Putra Perdana berhampiran perumahan D’Islands, di sini, semalam.

Menurut Khairul Anwar Mohd Salleh, 47, yang juga jiran mangsa, dia bersama rakan serta bapa mangsa Mohammad Azzam Naim, 46, bergegas ke lokasi sebaik menerima berita Muhammad Ilham Fahmy lemas kira-kira jam 5 petang, semalam.

“Saya mengambil keputusan untuk menyelam bagi mencari mangsa. Pada mulanya saya turun tanpa tali, namun saya naik semula kerana arus air deras.

“Rakan saya kemudian memasang tali sebelum saya turun semula untuk menyelam sebelum tiba-tiba ditarik pusaran air serta hampir lemas kerana arus deras,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Khairul Anwar berkata, rakannya bertindak menarik dia keluar memandangkan arus deras walaupun cuaca ketika itu tidak hujan.

“Ketika itu, ada tujuh orang awam di lokasi kejadian termasuk kami. Namun, kami bertindak menyelam dulu sementara menunggu pihak bomba datang.

“Ketika itu, memang tiada orang memancing di kawasan berkenaan,” katanya yang mengharapkan mangsa ditemui segera,” katanya.

Dalam operasi mencari dan menyelamat Muhammad Ilham Fahmy yang sehingga kini belum ditemui, enam anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas kira-kira jam 9 malam tadi.

Mangsa yang lemas terdiri daripada empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, serta dua anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Berita Harian X