Khamis, 4 Oktober 2018 | 7:05pm

Mahkamah Tinggi perbetul perintah penggalian semula kubur

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memperbetulkan perintah oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya berkaitan penggalian semula kubur Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan yang meninggal dunia dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Damansara, Jun lalu.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan demikian mengikut budi bicara beliau mengikut Seksyen 325 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau dalam penghakimannya berkata, peruntukkan mengikut Seksyen 339 (3) kanun sama dalam keputusan awal di mahkamah sebelum ini dianggap tidak sepatutnya digunakan kerana ia berkaitan permohonan inkues.

“Sesuatu permohonan inkues tidak boleh dijalankan selagi hasil dan laporan lengkap siasatan tidak diserahkan kepada Majistret.

“Berikutan itu, saya memperbetulkan perintah itu kepada Seksyen 329 (3) kanun sama yang memperuntukkan kuasa penuh kepada polis bagi menjalankan siasatan terutama mengenal pasti punca sebenar kematian (Nazrin),” katanya.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik dan LS Leonard yang mewakili isteri Allahyarham, Samirah Muzaffar, 43, mengemukakan permohonan semakan semula keputusan penggalian semula kubur oleh Majistret Nor Ariffin Hisham pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin dalam hujahnya memaklumkan bahawa permohonan itu disifatkan sebagai ‘pra matang’ kerana membangkitkan soal inkues sedangkan ia masih dalam peringkat siasatan polis.

Dalam prosiding sama, Ab Karim turut menetapkan syarat yang dipersetujui oleh pihak pendakwaan dan pemohon ketika proses penggalian kubur, pengebumian semula dan bedah siasat kedua Allahyarham Nazrin.

“Seorang wakil pemohon (Samirah) dan agamawan dibenarkan hadir ketika proses menggali dan pengebumian semula jenazah (Nazrin).

“Pakar patologi bebas juga boleh hadir ketika bedah siasat jika mendapat kelulusan daripada patologi yang dilantik bagi proses bedah siasat kedua itu.

“Selain itu, pemohon dibenarkan hadir ketika proses bedah siasat berkenaan,” katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan polis menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi menjalankan bedah siasat kali kedua.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dipetik berkata, ia dilakukan selepas abang kepada Nazrin membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan laporan bedah siasat dikeluarkan patologi Hospital Kuala Lumpur.

Permohonan kemudian dibuat polis pada 28 September lalu di mahkamah dan penggalian semula ditetapkan pada Isnin depan mengikut prosedur ditetapkan.

Pada 4 September lalu, isteri Nazrin, Samirah dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.

Turut ditahan reman, anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun pada 9 September lalu.

Selain itu, pada 24 September lalu, sepasang suami isteri yang juga adik ipar kepada Nazrin pula direman empat hari, namun semua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Pada 3 Ogos lalu, polis memaklumkan kes kematian Nazrin diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan wujud kesan petrol di lokasi kejadian, selain berdasarkan keputusan bedah siasat.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Mutiara Homes, kira-kira jam 12.20 tengah hari pada 14 Jun lalu.

Mangsa berkhidmat di Cradle Fund, iaitu syarikat bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan di negara ini, sejak 15 tahun lalu dengan jawatan terakhir sebagai CEO.

Berita Harian X