Khamis, 4 Oktober 2018 | 7:23pm
KEADAAN lombong di Taman Putra Perdana. - Foto BERNAMA

Rakan setugas pilu lihat 6 mangsa ditelan pusaran air

PUCHONG: “Sepanjang lebih 10 tahun berkhidmat, ini adalah kejadian paling menyedihkan yang saya pernah alami apabila hanya mampu melihat rakan setugas terkapai-kapai lemas demi menjalankan amanah digalas,” kata kata salah seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut berada di lokasi ketika kejadian.

Beliau yang enggan dikenali dan turut terbabit dalam operasi mencari seorang remaja berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh di kawasan tebatan lombong itu mengakui rasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkan enam rakan setugasnya itu.

“Sepanjang berkhidmat sebagai anggota bomba, ini adalah kejadian paling menyedihkan bagi saya dan mungkin juga kepada warga bomba lain.

“Sebabnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini akhirnya bertukar tragedi apabila anggota kami sendiri hilang nyawa, malah saya sendiri rasa bersalah apabila tidak berjaya menyelamatkan mereka,” katanya.

Menceritakan kejadian yang berlaku, beliau berkata arus deras itu berlaku cukup pantas menyebabkan enam rakannya tidak sempat menyelamatkan diri.

Katanya, sebaik sudah berada di kawasan jatuhan air di tebatan lombong itu, tiba-tiba arus deras menimpa kesemua mangsa menyebabkan mereka bergelut untuk menyelamatkan diri.

“Saya lihat mereka bergelut untuk menyelamatkan diri termasuk cuba melonjakkan badan untuk keluar dari kawasan jatuhan air itu, tetapi arus terlalu kuat dan setiap kali berbuat demikian, mereka akan ditarik semula ke dalam pusaran air.

“Melihat keadaan cemas itu, saya dan beberapa rakan lain yang berada di tebing cuba memberi bantuan dengan menarik tali mengikat kesemua mangsa, namun tidak berhasil,” katanya.

Tambah beliau, 10 minit pertama dia melihat sendiri keenam-enam rakan mereka itu terkapai-kapai dalam air sebelum satu persatu hilang keupayaan untuk bergerak dipercayai akibat terlalu penat sebelum kesemuanya ditelan pusaran air.

“Ketika kejadian itu, saya berharap mereka dapat bertahan, namun arus deras yang mencetuskan pusaran menyebabkan mereka hilang tenaga.

“Kemudian, satu persatu saya dapati tenggelam timbul di kawasan jatuhan air di situ tanpa sebarang pergerakan dan ada antara jaket keselamatan yang dipakai terlucut dari badan,” katanya.

Melihat keadaan itu, beliau berharap enam rakannya itu selamat dan terus berusaha menarik mereka ke tebing sebelum berhasil berbuat demikian 30 minit kemudian.

“Ketika cuba menarik kesemua mangsa, tali terasa cukup berat dan seakan ada sesuatu yang menahan mereka menyebabkan saya serta rakan lain tidak berhenti berdoa usaha menyelamatkan mereka berjaya.

“Usaha menarik mereka hanya berhasil selepas 30 minit kami berhempas pulas menarik tali yang mengikat, namun kesemuanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbelit tali antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya lagi, sebaik kesemua mangsa berjaya ditarik ke tebing tebatan lombong itu, mereka cuba memberikan bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan mulut ke mulut (CPR), namun tidak berhasil.

Katanya, usaha memberi bantuan kecemasan dibuat hampir 30 minit tetapi tidak berhasil sebelum kesemuanya disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik.

Berita Harian X