Jumaat, 5 Oktober 2018 | 12:57pm

Permohonan Farid Kamil ambil pasport ditolak

PETALING JAYA: Permohonan pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari bagi mendapatkan sementara pasportnya untuk urusan ke luar negara ditolak Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menolak permohonan itu selepas dokumen sokongan berhubung permohonan berkenaan tidak dikemukakan oleh pelakon berusia 37 tahun itu.

Terdahulu, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid Kamil mengemukakan permohonan itu atas alasan anak guamnya akan ke luar negara bagi penggambaran filem.

Dalam prosiding sebutan semula lima pertuduhan jenayah yang dihadapi pelakon Lagenda Budak Setan pada Januari lalu itu, mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan selama lima hari bermula 27 November depan.

Sementara itu, Farid Kamil yang ditemui di luar mahkamah berkata, beliau memerlukan pasport itu bagi urusan kerja.

“Sebagai pelakon, sememangnya saya perlukan pasport untuk urusan lain.

“Kini, aktiviti lakonan saya juga terbatas kerana masih terikat dengan prosiding mahkamah dan diharapkan kes ini selesai,” katanya.

Mengulas sama ada beliau kecewa apabila permohonannya ditolak, Farid Kamil akur dan memahami prosedur mahkamah itu.

Pada prosiding kali ini, beliau ditemani isterinya, Datin Diana Dianelle.

Sementara itu di mahkamah berasingan, Majistret Salamiah Salleh menetapkan 26 sehingga 29 November ini untuk perbicaraan kes laporan palsu dihadapi Farid Kamil.

Selain itu, mahkamah turut menolak representasi bagi menggugurkan kes yang dihadapi pelakon J Revolusi itu.

Pada 7 Mei lalu, Faizul menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee dan Mohamad Firdaous Mohamed Idris.

Pada 16 Januari lalu, Farid Kamil berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4.30 petang, tarikh sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pelakon itu didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dekat sini kira-kira jam 5.54 petang, 31 Januari lalu.

FARID ditemani isterinya, Diana keluar dari Mahkamah Majistret di Petaling Jaya selepas mendengar sebutan semula kes jenayah yang dihadapinya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
FARID ditemani isterinya, Diana keluar dari Mahkamah Majistret di Petaling Jaya selepas mendengar sebutan semula kes jenayah yang dihadapinya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X