Jumaat, 5 Oktober 2018 | 7:46pm

Bendera separuh tiang di semua balai bomba di PP

BATU KAWAN: Kesemua 18 balai bomba di negeri ini sudah mengibarkan bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat separuh tiang bagi mengenang enam rakan mereka yang meninggal dunia Rabu lalu ketika melakukan operasi mencari seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Puchong , Selangor.

Bendera itu dikibar separuh tiang di seluruh negara selama tiga hari sehingga Ahad ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Mokhtar berkata, pasukannya juga mengadakan tahlil di surau di balai-balai bomba semalam.

Beliau berkata, mereka juga mengadakan bacaan Yassin dan tahlil di bangunan ibu pejabat di Batu Kawan awal hari ini.

“Kami begitu sedih dengan insiden ini. Bagi pihak semua anggota bomba di negeri ini, kami ingin memanjangkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban ketika bertugas,” katanya kepada NSTP.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan permintaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mengibarkan bendera separuh tiang di semua Balai Bomba dan Penyelamat di seluruh negeri selama tiga hari bermula hari ini.

Langkah itu diambil bagi menghormati dan menghargai jasa dan pengorbanan enam anggota bomba yang meninggal dunia ketika misi mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian itu, enam penyelam anggota bomba meninggal dunia dalam operasi mengesan seorang remaja Muhammad Ilham Fahmy Mohammad Azzam, 17, yang lemas Taman Putra Perdana, Puchong.

Keenam-enam mereka ialah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25, Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Adnan dan Muhammad Hifdzul bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam sementara empat lagi berkhidmat di Balai Bomba Port Klang.

Jenazah kesemua mereka disemadikan di kampung halaman mereka semalam.

Mayat Muhammad Ilham dijumpai tengah hari semalam sebelum dikebumikan hari yang sama di Tanah Perkuburan Taman Putra Perdana.

Berita Harian X