Sabtu, 6 Oktober 2018 | 5:18pm

Pesawat C130H TUDM tiba di Palu bagi misi bantuan

PALU: Pesawat C130H milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa bekalan bantuan bagi keperluan misi mencari dan menyelamat selamat mendarat di Palu, Indonesia jam 11.10 pagi tadi (Waktu Malaysia).

Dalam misi itu, pesawat berkenaan yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Aji Sulaiman, Balikpapan turut membawa 100 anggota pasukan Polis Republik Indonesia (POLRI).

TUDM dalam kenyataan hari ini berkata, pesawat berkenaan memulakan misi hari pertama dari Labuan, Sabah pada jam 6.05 pagi tadi sebelum tiba di Balikpapan pada jam 8.10 pagi.

Katanya, sebaik tiba di Balikpapan, pesawat itu kemudian diterbangkan ke Palu pada jam 10.19 pagi dan selamat mendarat di kawasan bencana berkenaan pada jam 11.10 pagi.

"Sebaik menurunkan 100 anggota POLRI di Palu, pesawat itu kemudian diterbangkan semula ke Balikpapan dengan membawa 100 mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu selain tujuh pelancong asing sekitar jam 12.35 tengah hari.

"Mereka semua selamat tiba di Balikpapan pada jam 1.25 tengah hari tadi," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pada hari ini juga, TUDM turut menggerakkan pesawat A400M ke Palu bagi membawa 15 tan bantuan terdiri daripada pakaian, keperluan asas dan makanan.

"Bagaimanapun, pesawat A400M yang menjadi pesawat pengangkut utama misi bantuan ke Palu itu tidak dibenarkan untuk mendarat susulan landasan rosak.

"Buat masa ini, A400M ini digerakkan bagi mengangkut barangan dari Jakarta dan Bandung ke Balikpapan," katanya.

Berita Harian X