Ahad, 7 Oktober 2018 | 8:48pm
KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora semalam. - Foto L MANIMARAN

Nahas Terowong Menora: Pemandu treler ada 13 saman

KUALA KANGSAR: Pemandu berusia 41 tahun yang ditahan selepas treler dipandu merempuh sebuah kereta hingga mengorbankan lima nyawa dalam kemalangan di Kilometer 255.1 pagi semalam, memiliki 13 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata pemandu treler berkenaan ditahan di lokasi kejadian semalam untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil semakan mendapati suspek memiliki 13 saman membabitkan pelbagai kesalahan lalu lintas, namun semua saman terbabit telah dijelaskan.

“Pemandu treler berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil semakan turut mendapati syarikat yang memiliki treler berkenaan mempunyai 11 saman namun tiga daripadanya belum dijelaskan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini hari ini.

Razali berkata, sekiranya polis dapat menyelesaikan kes berkenaan pada hari ini, pihaknya akan membebaskan suspek.

Katanya, setakat ini polis sudah menjalankan ujian saringan air kencing namun belum memperoleh keputusan manakala ujian darah akan diambil untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal pemandu treler berkenaan, suspek mendakwa dia cuba mengelak daripada merempuh kenderaan di hadapannya sebelum menarik stereng ke sebelah kanan lebuh raya bagi mengurangkan kelajuan kenderaan.

“Bagaimanapun, suspek mendakwa tidak perasan terdapat sebuah kereta di bahagian kanan lebuh raya sebelum menghimpit kenderaan berkenaan.

“Susulan kemalangan itu, kesesakan teruk berlaku di lokasi kejadian dan anggota bomba mengambil masa empat jam untuk memadam kebakaran terbabit sebelum mengeluarkan kelima-lima jenazah mangsa,” katanya.

Razali berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akra Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, setakat jam 9 pagi, beberapa individu dipercayai waris mangsa tiba di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk pengecaman.

“Sehingga kini, dua hingga tiga keluarga sudah berada di Unit Forensik dan mendakwa kehilangan ahli keluarga, bagaimanapun kita tidak boleh guna pakai pengakuan mulut dan semua waris perlu menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terlebih dulu,” katanya.

Berita Harian X