Isnin, 8 Oktober 2018 | 1:05am
KEADAAN kereta yang remuk selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan. - Foto L MANIMARAN

Pemandu treler positif dadah direman esok

KUALA KANGSAR: Hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu berusia 41 tahun yang merempuh sebuah kereta hingga mengakibatkan lima mangsa rentung terbakar dalam kemalangan di Kilometer 255.1 pagi semalam, didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar menjalankan ujian saringan berkenaan selepas suspek ditemui di lokasi kejadian semalam.

“Hasil ujian berkenaan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine sebelum ditahan untuk siasatan lanjut

“Perintah reman terhadap suspek akan dipohon di Mahkamah Kuala Kangsar esok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11.47 semalam, lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam keadaan rentung selepas kereta jenis Kia Forte dirempuh treler berkenaan di lorong kanan lebuhraya berkenaan.

Kemalangan itu turut membabitkan dua lagi kereta iaitu jenis PERODUA Myvi dan PROTON Iswara namun kedua-dua kenderaan itu selamat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim yang ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar berkata, pemandu treler mendakwa dia cuba mengelak daripada merempuh kereta di hadapannya berikutan gagal mengawal kenderaan berat itu sebelum memasuki ke lorong kanan lebuhraya.

Katanya, susulan kejadian itu, treler berkenaan merempuh tiga kereta di lorong kanan namun kereta Kia Forte dinaiki kelima-lima mangsa terhimpit di antara penghadang jalan konkrit dan treler itu sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Berita Harian X